Nama Mizz Nina mungkin masih agak asing bagi segelintir peminat industri seni tempatan walaupun dia pernah menganggotai kumpulan Teh Tarik Crew sebelum mengambil keputusan untuk bergerak secara solo.
Namun kini dengan album sulungnya, 'What You Waiting For' yang turut memuatkan lagu yang sama dengan judul albumnya itu, Mizz Nina dilihat sebagai antara penyanyi wanita yang berpotensi besar.
Apatah lagi melalui lagu tersebut, dia berpeluang bekerjasama dengan penyanyi antarabangsa dari Amerika Syarikat, Colby O'Donis yang sebelum ini pernah berkolaborasi dengan Akon dan Lady Gaga.
"Proses kerjasama ini dijalankan oleh pihak pengurusan kami. Ini kerana saya cukup mengagumi bakat serta kebolehan Colby. Saya harap kerjasama ini akan berhasil dan daripada respon yang diberikan oleh peminat, mereka menyukai lagu tersebut.
"Selepas ini saya tidak tahu lagi, siapa pula yang akan bekerjasama dengan saya kerana album saya baru sahaja dilancarkan dan saya mahu fokus dengan kerja-kerja promosi sebelum merancang projek yang akan datang," ujar Mizz Nina yang enggan mendedahkan kos pembikinan albumnya yang memuatkan 14 buah lagu itu.
Ditanya mengapa album tersebut mengambil masa terlalu lama untuk disiapkan, Mizz Nina yang juga merupakan Pengarah Urusan The Singing Shop yang beroperasi di Amcorp Mall, Petaling Jaya memberitahu, proses mengumpul 'material' memerlukan masa yang agak panjang.
Katanya dia mahu mencari material terbaik untuk dipersembahkan kepada para peminat yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan kepadanya selama ini. Malah dia yakin dengan kesungguhannya menghasilkan album tersebut, para peminat akan dapat menerima album tersebut dengan baik.
"Ia juga mengambil masa sedikit kerana proses rakaman bukan sahaja diadakan di Malaysia, malah turut dijalankan di Los Angeles. Apapun saya puas hati dengan proses pembikinan album ini," ujarnya yang turut berkebolehan mencipta lagu.
Bercerita mengenai album sulungnya itu, Mizz Nina menjelaskan album tersebut memuatkan 14 buah lagu dan lima daripadanya di dalam bahasa Melayu. Tambah hebat, melalui album tersebut dia bukan sahaja berpeluang berduet dengan Colby malah turut bekerjasama dengan Noh (Hujan), Mawar Berduri (Ahli Fiqir) serta Mc Dandee, penyanyi terkemuka dari Bangkok.
"Album ini tidak jauh berbeza dengan album yang pernah saya hasilkan bersama kumpulan Teh Tarik Crew. Ianya mempunyai unsur electro hip hop dan rentak yang diketengahkan adalah berkaitan dengan citarasa saya.
"Namun saya boleh mengatakan bahawa untuk album ini, ianya mempunyai rentak yang lebih terkini dan segar daripada kebiasaan. Ia juga bolehlah dikatakan sebagai refleksi daripada pengalaman kehidupan saya," ujarnya penuh semangat.
Tak kisah dilabel 'nakal'Melihat akan klip videonya "What You Waiting For", pasti terdapat segelintir pihak yang melabelkan penyanyi berwajah jelita itu sebagai seksi dan 'nakal'.
Mizz Nina ketika ditanya mengenai perkara tersebut sambil tersenyum memberitahu, dia tidak kisah dilabelkan sedemikian. Katanya itu hanyalah sekadar di dalam klip video dan tiada kena mengena dengan kehidupan peribadinya.
"Saya tak kisah orang nak cakap apapun. Sebab apa yang penting bagi saya ialah keluarga dan kawan-kawan saya tahu siapa dia Mizz Nina. Selain itu saya juga tak boleh nak sekat apa yang orang nak cakap atau fikir mengenai saya.
"Sehingga kini saya bersyukur kerana klip video tersebut disukai ramai dan sejak ia mula ditayangkan di web YouTube pada 31 Mac lalu, sudah lebih 400 ribu orang menontonnya.
"Pada saya ini satu perkembangan yang bagus. Selain itu, single pertama saya itu juga kini sudah semakin diterima dan telah memasuki beberapa carta lagu popular di Malaysia," katanya.
Berkenaan perancangan untuk membawa lagu-lagunya sehingga ke peringkat antarabangsa, dia mengakui mempunyai perancangan ke arah tersebut. Namun sebagai permulaan dia mahu dikenali di Malaysia terlebih dahulu sebelum mengorak langkah sehingga ke Indonesia, Singapura dan Los Angeles.
No comments:
Post a Comment